NORAZIZALINA MAT NAJIB

BERBANGGALAH MENJADI KAUNSELOR

                     

Kerjaya kaunselor merupakan satu kerjaya profesional yang menitikberatkan aspek personaliti, perwatakan dan perawakan di samping kelayakan yang mengikut syarat sebagai kaunselor berdaftar yakni paling kurang memerlukan latihan profesional selama tiga atau empat tahun di peringkat Ijazah Sarjana Muda sebagai persediaan seseorang untuk memegang amanah menjadi seorang kaunselor. Semua aspek ini diadun untuk melahirkan seorang kaunselor yang berkualiti dan kompeten.

Tiada istilah “kerja mudah” atau “nasihat saja atau bukan susah” untuk kerjaya kaunselor ini. Malahan untuk menjadi seorang kaunselor, individu tersebut perlukan jiwa. Benarlah, hanya mereka yang terpilih sahaja yang “born to be a counselor”. Menurut Rogers, personaliti diri kaunselor itu sendiri iaitu menerima klien tanpa syarat, tulen dan kongruen dilihat lebih berkesan daripada menguasai teknik dan kemahiran yang lain. Ini kerana, walaupun seorang kaunselor itu mempunyai kemahiran dan menguasai teori, namun jika dia gagal mempamerkan ciri-ciri personaliti seorang kaunselor di hadapan klien, maka, ia akan melumpuhkan sistem kaunseling tersebut dan klien akan mengundur diri daripada ingin dibantu. Sebagai contoh, seorang kaunselor yang kelihatan hebat melalui kata-katanya, namun tidak menerima klien sepenuhnya, akan membuatkan klien berpersepsi bahawa semua kaunselor sama. Bukan itu sahaja, peranan kaunselor, nama baik kaunselor dan juga seluruh perkhidmatan ini disalah ertikan. Bukan mudah untuk mendapatkan keyakinan klien terhadap kaunselor.

Kaunselor perlu jujur dan ikhlas dengan klien. Kaunselor yang berpura-pura kongruen dengan klien, sedangkan pada hakikatnya tidak hanya mengundang rasa kosong di hati klien dan tanpa kaunselor sedar, hubungan sesi itu hambar dan ia tidak dijiwai oleh klien tersebut. Justeru, kaunselor perlu sentiasa bersedia untuk menjalankan amanah dengan penuh ikhlas. Namun, tidak dinafikan ada kaunselor yang gagal mempamerkan diri kaunselor mereka kerana mereka bukan born to be a counselor. Justeru, individu inilah yang telah mencalit arang pada nama baik dan imej profesion kaunselor. Malahan mereka tidak segan silu berkongsi cerita serta mendedahkan identiti klien kepada orang-orang yang berada di persekitaran mereka. Ada pula yang hanya berjuang separuh jalan sahaja kerana tidak sanggup untuk menanggung bebanan masalah orang lain dan kerana tidak minat dalam memberikan perkhidmatan kaunseling.

Sungguhpun demikian, majoriti daripada kaunselor yang ada di Malaysia ini masih setia memegang amanah dan ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Kaunselor-kaunselor di sekolah, pusat-pusat kesihatan, agensi-agensi kerajaan dan agensi swasta telah memberikan perkhidmatan kaunseling yang telah membuka mata banyak pihak untuk mengenali betapa pentingnya kaunselor dalam merawat emosi manusia.

Insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan terhempasnya MH17 yang mengorbankan nyawa kesemua penumpang dan kru telah menyedarkan banyak pihak betapa pentingnya kaunselor bersama-sama melayani keperitan dan kesedihan keluarga mangsa yang tinggal. Segala-galanya bermula apabila Persatuan Kaunseling International Malaysia (PERKAMA International) menawarkan perkhidmatan kaunseling segera kepada keluarga serta rakan mangsa nahas. Keberadaan para kaunselor di sana dilihat telah membuka mata akan pentingnya kaunselor untuk merawat emosi insan yang berdepan dengan situasi cemas dan runcing. Malah, dengan sifat dan sikap prihatin dan toleransi kaunselor, menjadikan perkhidmatan ini semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Walaupun perkhidmatan kaunseling ini telah bermula kian lamanya di sekolah, namun, ia tidak menyerap dalam hati masyarakat dan rakyat sehinggalah insiden-insiden tersebut.Tidak keterlaluan dikatakan bahawa sejak peristiwa tersebut, apa sahaja bencana dan musibah melanda negara, nama kaunselor disebut-sebut untuk memberikan bantuan sokongan emosi kepada mangsa-mangsa berkenaan.

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa sejak peristiwa tersebut, apa sahaja bencana dan musibah melanda negara, nama kaunselor disebut-sebut untuk memberikan bantuan sokongan emosi kepada mangsa-mangsa berkenaan. Kejadian banjir besar yang berlaku pada tahun-tahun kebelakangan memberi ruang kepada kaunselor untuk terus memberikan khidmat bakti mereka. Saban hari, kaunselor dari pelbagai agensi dan kementerian bersilih ganti datang ke pusat-pusat pemulihan untuk memberikan bantuan semampunya. Begitu juga dengan kes kejadian runtuhnya gunung Kinabalu juga memperlihatkan peranan kaunselor yang terserlah dalam membantu mangsa.

Di Kementerian Pendidikan misalnya, apa sahaja isu-isu yang berlaku termasuk kejadian kemalangan yang melibatkan kematian guru-guru, kaunselor di arahkan untuk memberikan bantuan kepada mangsa dan keluarga. Begitu juga dengan kementerian-kementerian yang lain termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, serta Kementerian Kesihatan yang berada di barisan hadapan apabila berlakunya peristiwa malang dalam negara. 

Peristiwa-peristiwa inilah yang telah membantu kaunselor semakin dikenali dalam masyarakat. Selain itu, kecekapan Persatuan Kaunseling International Malaysia (PERKAMA International) serta Lembaga Kaunselor yang memartabatkan profesion kaunselor dengan mensyaratkan, jawatan kaunselor hanya boleh diberikan jika seseorang itu mempunyai lesen kaunselor berdaftar. Tujuan pelaksanaan ini sudah tentu untuk mengangkat martabat kaunselor dan memastikan tidak adanya penyelewengan dalam kalangan mereka yang bukan kaunselor profesional. Apatah lagi kini kaunselor menjadi sebutan di mana-mana termasuk di media-media massa. Perkhidmatan kaunseling semakin menjadi penting dalam masyarakat kini.

Kesimpulannya, apa yang ingin saya nyatakan di sini adalah, betapa besarnya erti keberadaan kaunselor di serata tempat untuk merawat jiwa serta emosi manusia yang terganggu kerana mereka mengetahui mengenai keperluan mempunyai seseorang yang profesional untuk mendengar dan melayani jiwa mereka yang kesakitan. Bukan itu sahaja, kaunselor juga sebagai pakar runding yang dapat membantu orang awam untuk merungkai pelbagai isu dan persoalan.

Justeru, berbanggalah kita menjadi sebahagian dalam keluarga kaunselor kerana Ia merupakan satu jawatan profesional yang diiktiraf dan diterima oleh masyarakat dunia secara amnya malah, semakin mula diterima oleh masyarakat kita khususnya. Kitalah yang menjadi tempat mereka yang memerlukan pertolongan dalam konteks memberi sokongan emosi dalam apa sahaja keadaan. Perilaku, perawakan, perwatakan, ilmu dan kemahiran adalah aset penting yang menjadikan kita sebagai seorang kaunselor yang berwibawa, amanah dan ikhlas.

SHAMZYE

SHAMZYE

Kaunselor

I will be back soon

SHAMZYE
Hi dan salam sejahtera... Kami amat mengalu-alukan sebarang pertanyaan daripada anda.
WhatsApp Boleh saya bantu?