DR. NORISHAM ABD GHANI
Sebagaimana kita semua sedia maklum, perkhidmatan kaunseling adalah merupakan perkhidmatan menolong yang bertujuan untuk membantu individu yang terperangkap dalam kecelaruan emosi mendapatkan kembali ketenangan jiwa mereka. Perkhidmatan yang diberikan secara professional oleh kaunselor profesional yang terlatih dan bertauliah ini sering juga disalah ertikan sebagai perkhidmatan yang konservatif dan tertutup. Sebagai contoh, jika ada rakan kita yang berjumpa dengan kaunselor, sudah pasti persepsi kita adalah dia mempunyai masalah yang sangat teruk malahan ada yang dilabel pula sebagai sakit mental.
Justeru itu, ramai yang mempunyai masalah tetapi tidak mahu berjumpa kaunsleor. Mereka lebih rela berjumpa dengan pakar motivasi, coach atau yang menggelarkan perkhidmatan mereka sebagai master trainer untuk membantu diri mereka yang sedang hanyut dengan emosi yang serabut. Tidak dinafikan, mereka ini mempunyai kepakaran masing-masing dan mereka juga telah memberi sumbangan dalam pembangunan diri insan.
Persoalannya, mengapa perkhidmatan kaunseling kurang mendapat permintaan berbanding dengan rakan-rakan yang bergelar motivator dan coach di atas? Jika persepsi masyarakat melihat rakan-rakan motivator dan health coach boleh dipercayai (trusted), adakah kaunselor tidak boleh dipercayai? Benarkah kaunselor akan menyebarkan kerahsiaan klien sedangkan kerahsiaan klien adalah tulang belakang dan prinsip utama dalam perkhidmatan kaunseling. Kami para kaunselor sangat berpegang pada etika kerahsiaan, ibarat biar pecah diperut jangan pecah dimulut.
Jika masyarakat melihat berjumpa motivator dan coach itu perkara biasa dan tidak perlu rasa malu pun untuk dinyatakan kepada orang lain, mengapa perlu malu jika orang tahu berjumpa kaunselor sedangkan isu yang dibawa adalah isu yang sama. Motivator akan mendengar dan memberi motivasi. Kaunselor pula mendengar dan membawa klien memahami mengapa isu itu dihadapi dan bantu klien mendapat celik akal untuk berubah dengan nilai yang ada pada klien itu sendiri selain memberi semangat dan menunjuk jalan kepada klien yang sedang buntu. Jadi, mengapa malu nak berjumpa kaunselor?
Mengapa masyarakat tidak malu berjumpa doktor perubatan? Tidak malu ke klinik untuk mendapat rawatan tetapi malu pula untuk berjumpa kaunselor yang juga memberi rawatan. Jadi, mengapa perlu malu berjumpa kaunselor kerana kaunselor adalah pakar dalam bidang pemulihan psikologi diri manusia. Satu lagi, kaunselor bukan hanya merawat emosi semata-semata, tetapi kaunselor juga boleh membangunkan diri manusia dengan program pembangunan diri dan juga untuk masyarakat mengenali potensi dan personaliti diri.
Perkhidmatan kaunseling adalah perkhidmatan biasa seperti kita melangkah ke pasar raya membeli barang keperluan kerana mendapatkan perkhidmatan kaunseling juga adalah keperluan hidup. Jiwa tenang, hati senang, hidup teratur.
Kaunselor
I will be back soon